Azan subuh berkumandang dalam kedinginan pagi itu datang dari segenap arah. Seruan mulia itu mengetuk pintu hati-hati insan yang terlena ketiduran. Inilah pertarungan pertama yang dilalui oleh setiap insan untuk memulakan kehidupan yang baru pada hari yang baru, pada pagi yang baru. Pergolakan antara iman dan syaitan bermula. Sebahagian di antara anak Adam terus menyahut seruan Ilahi ini, meniggalkan tilam yang empuk lantas berdoa, berwuduk dan menunaikan solat. Dengan itu, terlepaslah dia daripada 3 ikatan yang dihembus syaitan saat dia terbangun daripada tidur. Bangunlah jiwanya sebagai jiwa yang baik dan sihat bertenaga untuk menempuh hari barunya itu. Sebahagian di antara mereka ada yang terjaga, keinginan nafsu dituruti lalu matanya yang celik dipejam kembali. Syaitan mendodoinya dengan nyanyian indah agar insan ini terus diulit mimpi. Lantaran itu, kewajipan kepada Allah tidak ditunaikan. Jadilah jiwanya jiwa yang kotor dan malas. Kehidupan yang ditempuhnya pada hari itu tiada ketenangan. Rasa menyesal memenuhi ruang jiwanya.
=(
Mukanya merah padam dengan riak masam mencuka. Hatinya tercabar dengan kata-kata temannya tadi. Nafsu keegoaan menguasainya. Hanya kerana sedikit teguran yang baik, jiwanya memberontak. Apabila bertemu dengan temannya itu, susah sekali untuk mengukir senyuman. Keegoan diri yang sukar untuk menerima nasihat membuatkan hubungan dengan temannya sendiri hancur. Tanpa disedari, dia telah menjayakan misi perancangan syaitan untuk merosakkan hubungan persahabatannya. Syaitan telah melunakkan nafsunya untuk bersifat sombong, seterusnya menyuntik rasa benci sedikit demi sedikit. Syaitan itu akan sentiasa menimbulkan permusuhan dan kebencian dalam persaudaran. Dia merasakan dirinya sudah baik atau lebih baik, oleh itu untuk apa teguran ini? Oleh sebab fitrah manusia yang cenderung kepada kebaikan, hati kecilnya mengakui kebenaran kata-kata temannya itu. Dia merenung teguran yang diberikan dan berfikir bukankah temannya juga yang banyak membantu sebelum ini? Ya, kenapa aku harus bersikap seperti ini?
@(
Buku yang dibacanya 5 minit tadi ditutupnya kembali. Kesukaran untuk memahami tajuk yang ditelaah itu menimbulkan sedikit rasa bosan. Dia mengalah, bukan memilih untuk meneruskan langkah. Syaitan mula mempengaruhinya untuk bersenang-senang dan tidak bersungguh dalam pelajaran. Dia lupa pada azam yang dibinanya dulu, menjadi pelajar yang cemerlang dan pakar dalam bidang yang diceburinya. Namun, keinginan tanpa kesungguhan dan semangat adalah angan-angan semata-mata. Syaitan memanjangkan angan-angannya lalu amat sedikit usaha yang dilakukan. Dia juga berazam untuk mengubah sikapnya. Syaitan mengaburi langkahnya untuk berubah, dia merasakan masih ada waktu untuk bertaubat dan melengah-lengahkannya. Waktu tidak menunggunya. Usianya dimamah masa. Dia adalah orang yang sama, berperilaku seperti dahulu lagi. Masa yang berlalu, pergi sejauh-jauhnya. Apa yang diinginkan untuk berubah menjadi lebih baik pada suatu masa dahulu hanya tinggal di benak fikiran.
Demikianlah kehidupan manusia. Pertentangan antara iman,nafsu dan syaitan akan sentiasa bergolak sehingga dia kembali kepada tuhannya. Dirinya sentiasa dibelenggu oleh 2 tarikan, tarikan iman dan tarikan syaitan. Kekuatan iman yang disuluh dengan cahaya ilmu akan menyelamatkan dirinya daripada tarikan yang mengheretnya ke lembah penyesalan. Tarikan iman memerlukan pengorbanan dan terpaksa menempuh jalan-jalan berduri. Manakala jalan kepada tarikan nafsu itu dihiasi dengan kesenangan dan keseronokan. Hakikat kehidupan di dunia ini adalah ujian dan cubaan seluruhnya. Diciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan kehidupan ini adalah untuk menguji siapakah di antara mereka yang paling baik amalnya, usahanya, sabarnya, syukurnya dan tawakkalnya.
Syaitan dengan sifatnya sombong dan angkuh, mengakui dirinya lebih hebat dek diciptakan daripada api serta tidak layak untuk bersujud kepada Adam tatkala diperintahkan. Syaitan bersumpah untuk menyesatkan manusia kepada kesesatan yang jauh, memesongkan manusia daripada jalan kebenaran, memutuskan talinya dengan tali Allah. Dia memperhiaskan segala tindak-tanduk manusia yang jahat dengan segala kecantikan dan kemanisan, sehingga manusia itu mengganggap dia telah melakukan kebaikan. Pada hari perhitungan kelak, manusia yang menzalimi diri masing-masing oleh sebab menuruti hawa nafsu dan syaitan melutut di hadapan Allah merasai sebesar-besar penyesalan atas apa yang dilakukannya di dunia dahulu. Tatkala itu, dia memberontak dan menyalahkan syaitan yang menyesatkannya. Syaitan pula berlepas diri daripada tohmahan mereka, bahkan mengatakan kepada manusia, celalah dirimu kerana mengikut tunjuk ajarku.
Musuh-musuh ini harus diperangi. Manusia yang bergelar hamba menyedari bahawa tipu daya syaitan yang licik ini tidak dapat dikalahkan melainkan dengan adanya kekuatan daripada Allah. Lantas, dia berusaha mencari kekuatan dengan berdoa, mengharapkan rahmat dan inayah Allah melindunginya daripada kejahatan-kejahatan ghaib ini. Zikir Al-Ma’thurat dijadikan santapan rohani pada setiap pagi dan petang. Di dalamnya terdapat Al-Mua’wwizatan (Surah An-Nas&Surah Al-Falaq) yang diwahyukan khusus untuk melindungi manusia daripada kejahatan-kejatahan yang dapat dilihat atau tersembunyi. Dia cuba mendidik dirinya untuk sentiasa berzikir. Zikir sahajalah senjata kukuh yang dapat melemahkan godaan ini. Hati manusia yang berzikir, jauh daripada bisikan syaitan manakala hati yang lalai pula sentiasa dipengaruhi oleh syaitan. Zikir membuahkan ketenangan di dalam hidupnya kerana merasai kebersamaan Allah dalam tindak-tanduknya.
Sesungguhnya apa yang ditulis ini adalah peringatan khusus untuk diri saya sendiri dengan doa dan harapan semoga Allah mengurniakan pertolongan dan kekuatan kepada kita dalam menghadapi musuh-musuh tersembunyi ini. Rujukan: Al-Quran, Al-Hadith, Talbis Iblis & Al-Adzkar Ibn Al-Jauziah.
اللهم إنّك سلّطت علينا عدوّا بصيرا بعيوننا يرانا هو وقبيله من حيث لا نراهم, اللهم فآيسه منّا كما آيسته من رحمتك, وقنّطه منّا كما قنّطته من عفوك, وباعد بيننا وبينه كما باعدت بينه وبين رحمتك, إنك على كل شيء قدير.
Zainab Asbullah
Timbalan Setiausaha Agung PRISMA 09/10
Tahun 3 Usuluddin
0 comments:
Catat Ulasan