"Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkanangin ke tempatyang jauh." (surah Al-Hujurat:15)

Ahad, 7 Februari 2010

SUARA PRISMA KELUARAN KE-4




PERSATUAN MAHASISWA MALAYSIA AL AL-BAYT (PRISMA)
                 MALAYSIAN AL AL-BAYT UNIVERSITY STUDENTS ASSOCIATION

          Suara prisma

“Saya mahu berkongsi dengan anda semua, apa yang saya rasa seronok apabila membacanya. Saya juga mahu anda rasa seperti yang saya dapat. Buat SUARA PRISMA kali ini, ayuh kita membacanya dengan tenang lagi santai. Saya bawakan untuk anda suatu yang biasa-biasa saja untuk kali ini, yang penting anda ambil manfaatnya. Kalau tak keberatan, tampallah ia di dinding rumah anda atau boleh juga jadikannya sebagai simpanan di dalam fail comel kesayangan anda, mudah-mudahan ia boleh  menjadi rujukan untuk masa akan datang. Jom, lihat apa yang saya mahu kongsikan”

SALAHKAH BERCINTA?

Cinta dan Remaja – Tidak dapat dielakkan lagi!! Sudah Jatuh Cinta Pada Si dia. Jadi bagaimana? YA, remaja dan cinta – dua perkara yang bagai sudah sebati. Kisah suka duka cinta remaja sering menjadi ilham para penyair. Rasa itu digubah menjadi bait-bait lirik dan alunan melodi  pencipta lagu. Menjelma menjadi untaian kata para penyajak. Habis segala ciptaan Tuhan dijadikan lakaran metafora dan analogi. Embun, pelangi, salju, hujan, dan binatang semuanya dijadikan lambang bagi memuja kekasih. Tidak percaya? Dengarlah lagu yang beralun di corong radio atau MP3, hampir 80% daripadanya adalah lagu cinta.

Begitulah eratnya remaja dan cinta hingga kita seolah-olah tidak dapat lagi membayangkan adanya hubungan remaja dengan yang lain, selain CINTA. Seolah-olah remaja tidak ada hubungan dengan iman, remaja dengan perjuangan,  remaja dengan dakwah, remaja dengan keusahawanan, dengan kepimpinan, dan sebagainya. Yang ada hanya hubungan remaja dengan cinta.

YA – perubahan biologi dan psikologi di alam remaja menyebabkan mereka menjadi peneroka alam cinta yang serba baru dan indah. Kekadang rasa cinta berputik lewat perkenalan dengan rakan sekelas, teman sepengajian atau cinta pandang pertama sewaktu sama-sama menunggu bas ketika hujan renyai-renyai. Aduh, romantiknya! Begitu yang selalu kita dengar ketika cinta pertama diungkapkan.

Bila Dah Mabuk Cinta – Bila disebutkan cinta, terbayang Romeo yang sanggup mati kerana Juliet, Cleopatra yang sanggup membunuh diri kerana Mark Anthony, Uda dan Dara yang bersanding di pusara atau Qaisy yang sanggup menjadi Majnun (gila) kerana terpisah dengan Laila. Itulah deretan kisah cinta dan khayalan. Namun realitinya juga tidak kurang hebat, ramai remaja yang sanggup meninggalkan ibu dan ayah kerana mengikut kekasih hati.

Kata Pantun: ‘Nasi Lemak Buah Bidara, Sayang Selasih hamba turutkan, Buang emak buang saudara, kerana Kasih hamba turutkan’ Malah ada yang sanggup menukar agama untuk memiliki cinta. Ah! Manusia tanpa cinta agaknya seperti bumi tanpa mentari. Kalau kita menonton filem Hindustan, kekadang cinta seolah-olah dinobatkan sebagai ‘Tuhan’….. segala-galanya kerana cinta. (mere mohabbat he!)

Rasa cinta bertandang ke dalam jiwa tanpa diundang dan diminta. Keinginan itu tak payah dipelajari dan dicari. Lelaki inginkan cinta wanita dan begitulah sebaliknya. Walaupun kadangkala ia cuba dilawan, namun rasa yang ajaib itu tetap datang juga. Tidak kuasa hati menolaknya. Apa lagi kalau cinta itu disuburkan, maka makin marak dan menggilalah jadinya. Bila cinta mencengkam diri, makan tak kenyang, tidur tak lena.

Orang Bijak Pandai pernah mengingatkan, “jangan dibawa berbincang tiga golongan manusia, Pertama, yang sedang lapar, kedua yang sedang sakit dan ketiga orang yang sedang mabuk cinta” kenapa? Orang yang lapar hanya memikirkan perutnya.  Orang yang sakit, sedang derita menanggung sakitnya. Orang yang bercinta pula, hanya memikirkan yang dicintainya. Dia seolah-olah mabuk dan sedang berada di alam yang lain. Orang nampak dia, tetapi dia tak nampak orang… Anda pernah terserempak dengan sepasang kekasih di stesen komuter atau bas? Semua orang ‘malu’ melihat gelagat keterlaluan mereka, tapi mereka tidak sedar diri

Cuba bayangkan, sedemikian indah dan damainya syurga, namun Nabi Adam as berasa kesunyian dan inginkan teman lalu ALLAH ciptakan Siti Hawa sebagai pasangan untuk dicintainya.dan kita anak cucu pewaris rasa cinta itu akan sentiasa rasa terpisah dan gelisah selagi tidak bersama dengan yang dicinta. ‘rasa cinta pasti ada, pada makhluk yang bernyawa’ demikian lirik lagu.


SALAHKAH BERCINTA?
RAMAJA selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, memang tidak salah justeru ia adalah fitrah tabie yang ALLAH kurniakan kepada setiap manusia. Ingin cinta dan dicintai adalah naluri (instinct) setiap manusia. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti mana jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah merasai dan menikmatinya. Jika salah, masakan TUHAN mengurniakan rasa cinta? ALLAH Maha Mengetahui, Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, dikurniakan-Nya rasa cinta pasti ada maksud dan tujuan.

Namun ALLAH tidak kurniakan rasa cinta secara polos begitu sahaja. Justeru, DIA juga telah mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh manusia, khususnya para remaja. Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya ‘cinta terlarang’ – yakni cinta yang menafikan prinsip dan melanggar peraturan ALLAH taala.

Ketika itu Fitrah akan menjadi fitnah. Bila kehendak tabie tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan ALLAH, maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Jadi janganlah kita hanya mengakui yang cinta dari ALLAH, tetapi akuilah juga ada-Nya peraturan cinta – yang juga datangnya dari ALLAH taala.

PERATURAN BERCINTA

MENGAPAKAH perlu ada peraturan cinta? Jawabnya, kerana ALLAH mencintai manusia. ALLAH inginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia dalam memenuhi keinginan fitrah tabienya. Keinginan tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kerosakkan. Tanpa peraturan, akan terjadi cinta terlarang. Cinta terlarang ini akan membawa banyak implikasi negative dalam kehidupan anda.

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran peraturan, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi berbagai-bagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan.

AKIBAT CINTA TERLARANG

CINTA yang terlarang adalah cinta yang sudah dicemari dan didominasi oleh oleh kehendak nafsu dan kepentinan diri. Keindahan cinta yang sudah tercemar ini tidak tahan lama. Sudah dapat apa yang dihajati, sudah terlaksana apa yang dikejar, cinta akan terkulai dan bersepai. Ini adalah akibat membelakangkan peraturan cinta. Pasti ada yang merana, samada pihak lelaki atau wanita atau kedua-duanya sekali. Saya sendiri pernah mendengar pelbagai cerita pergaduhan, pertengkaran bahkan pembunuhan antara pasangan yang bercinta. Kekadang, belumpun jadi isteri cemburunya melampau-lampau, pintanya berlebih-lebih pula. Semuanya hendak dikawal. Belumpun jadi suami, silap sikit tangan melayang, ganasnya  bukan main. Sehari tidak ‘send’ mesej bertanya khabar, rajuknya mengalahkan pohon semalu. Itulah seksanya cinta terlarang.

Walaupun suka sama suka pada awalnya, tapi akhirnya terseksa juga – lahir dan batin. Justeru, sudah banyak tragedy yang berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan TUHAN. Berapa ramai remaja yang jadi korban cinta tiga segi, cinta tak setia, cinta palsu dan macam-macam lagi. Ingat kata lagu ‘jangan main api, nanti terbakar diri, jangan main cinta nanti badan merana’.  Begitu selalu diungkapkan. Belum terbakar diakhirat (na’uzubillah) sudah terbakar di dunia! Apa cerita?

Ketika itu hati tidak nampak yang lain selain apa yang dicintai. Lupa diri pada pencipta kerana terlalu asyik dengan cintayang dikurnia-Nya. Ah! Bagaimana perasaan kita agaknya, jika seseorang begitu leka dengan hadiah sehingga terlupa bersalam dan berterima kasih dengan Pemberi hadiah? Siapa lebih utama, hadiah (cinta) atau pemberi hadiah (ALLAH)?

Cuba kita lihat semarak cinta dalam filem Bollywwood – aduh! Cinta dimartabatkan sebagai nombor wahid – hingga lupa pada Tauhid. Rela berpisah dengan ibu bapa, sanggup meminggirkan sanak saudara, rela berkorban nyawa. Malah rela bertukar agama kerana cinta. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala hingga seseorang akan menjadi hamba kepada siapa dan apa yang dicintainya. Benarlah kata pepatah arab: ‘manusia akan menjadi hamba kepada apa yang dicintainya’


HIDUP KERANA CINTA
HIDUPKU untuk cinta – masyhur sekali kata-kata yang dianggap keramat itu. Padahal hidup adalah untuk ibadah. Mana mungkin cinta manusia boleh dijadikan sebagai tujuan hidup? Ya, memang cinta perlu dalam kehidupan tapi ia bukan tujuan ia hanya keperluan. Tujuan lebih utama daripada keperluan. sebaik-baiknya gunakan keperluan untuk mencapai tujuan. Contohnya makan, makan adalah keperluan bukan tujuan. Tenaga yang diperolehi daripada makan itu mesti digunakan untuk mencapai tujuan – yakni memudahkan ibadah.

Sama jugalah seperti cinta. Cuma cinta itu makanan jiwa. Gunakanlah cinta manusia itu untuk beribadah, atau dengan kata lain gunakan cinta manusia untuk mendapat cinta ALLAH. Jangan sampai keperluan dijadikan tujuan, hingga tanpa sedar cinta seolah-olah dianggap Tuhan. Ia telah jadi centre’  segala-gala. Nak buat apapun terpaksa merujuk kepada cinta. Jika cinta kata OK, apa pun sanggup dilaksanakan. Hinggakan lautan api (neraka pun?) sanggup direnangi.

Sungguh, Tuhan kerap terpinggir dalam hubungan cinta yang terlarang. Hukum-Nya dilanggar tanpa rasa bersalah tetapi dengan rasa manis dan megah. Tangan kekasih dipegang walaupun jelas ALLAH mengharamkan sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram hingga menimbulkan fitnah. Tergamak berdua-duaan di tempat sunyi walaupun sudah diperingat Nabi saw bahawa dalam keadaan begitu syaitan adalah pihak ketiga. Malah yang lebih buruk dari itu pun banyak berlaku. Semuanya kerana cinta…

Semuanya seolah-olah halal hanya kerana cinta. Bukankah sewaktu kita telah ‘bertuhankan cinta’? benarlah firman ALLAH yang mengingatkan “Apakah kamu tidak melihat bagaimana ada manusia yang mempertuhankan hawa nafsunya” (al-Jatsiyah 45:23)

CINTA SUCI TANPA RACUN

YAKINLAH ALLAH itu indah dan cinta pada keindahan – tidak mungkin DIA akan memusnahkan keindahan yang diberikan-Nya dengan peraturan-peraturan yang boleh menghakis keindahan cinta itu sendiri. Sebaliknya, dengan peraturan-peraturan itulah keindahan cinta akan tetap terpelihara dan lebih terserlah. ALLAH taala Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala peraturan-Nya dibuat dengan rasa cinta terhadap hamba-hambanya-Nya.cinta suci mampu tumbuh tanpa semua racun yang berbisa itu. Dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan dan lebih abadi.

Bahkan, jika ditakdirkan cinta itu akan terus bersambung ke alam syurga. Ketika itu benarlah ungkapan: ‘Ku nantikan kau di pintu syurga’. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga. – tempat pertama yang melahirkan cinta! – cinta Nabi Adam dan Siti Hawa. Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah. Tertolak segala racun fitnah. Ya, jangan tunggu si dia di pintu neraka kerana di sana tidak ada cinta. Nau’zubillah.

Nah! Sekarang cuba renungkan sejenak, panjang dan berliku sungguh untuk mencapai hasil akhir   cinta anda itu. Inilah sebenarnya cinta yang sejati dan mulia. Cinta yang bersyariat, cinta yang diiringi oleh usaha, komitmen dan kesetiaan untuk merealisasikan matlamatnya. Cinta itu bukan di mulut (words). Orang kata ‘Love is a verb’. Maksudnya cinta itu tindakan dan perbuatan. Maka lahirkan perbuatan, tindakan dan usaha untuk buktikan cinta anda itu sememangnya suci dan serius.

Pesan saya, jika mahu cinta, carilah cinta yang betul-betul cinta. Dahulukan cinta yang benar-benar memerlukan cinta. Saya pasti anda mampu membedakan cinta dan CINTA.  


Oleh
MOHD AFIQ MOHD SALEH
Setiausaha Agung
PRISMA 2009/2010
Tahun 3 (Fiqh Usuluh)

0 comments:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More