"Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkanangin ke tempatyang jauh." (surah Al-Hujurat:15)

Rabu, 30 Disember 2009

SUKA & DUKA : SEBELUM 2009 MENINGGALKAN KITA



Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang              
Pujian dan segala kelayakkan yang tertinggi saya panjatkan ke hadrat ALLAH taala Tuhan yang Agung mentadbir sekalian alam. Saya bertitik tolak melafazkan dan memohon rahmat serta inayahnya yang berada di mana-mana, mudah-mudahan saya memperolehinya dan mampu berkongsi nikmat itu bersama semua manusia.
                Lafaz selawat dan puji-pujian saya ucapkan terutama kepada Nabi Muhammad saw serta para sahabatnya. Semoga roh mereka yang hidup ini senantiasa bersama-sama untuk meneruskan perjuangan ini. Mari dengarkan nasihat dua kerat ini untuk kelangsungan iman kita bersama, semoga ia mampu mengubah kita kepada yang lebih baik.
Mahasiswa dan mahasiswa yang kukasihi,
                Melangkah ke tahun baru sudah lazim bagi harian kita. Terkadang tidak terasa perginya hari yang terlalu pantas meninggalkan hari semalam. Terkadang terasa pula hari ini dan semalam adalah serupa sahaja. Lalu hari-hari yang ditinggalkan itu seperti dibuang tanpa ada disertakan dengan amal yang boleh dinilaikan sebagai pahala atau kebajikan.
                Seorang mukmin yang hari ininya tiada peningkatan bahkan amalnya lebih buruk daripada semalam ia telah digolongkan sebagai mereka yang mendapat kecelakaan dalam KEHIDUPAN. Justeru, usaha mencantikkan amal dan prestasi walaupun sedikit tidak wajar diabaikan kerana ia merupakan bukti kesungguhan dalam bekerja. Maka, ia perlu diterjemahkan dalam setiap hari yang mendatang.
                Tibanya tahun baru 2010 ini seperti juga datangnya tahun 2009 yang lalu, siang akan tetap berubah ke hari malamnya. Cuma menunggu manusia dan insan seperti kita mahu merubah cara dan meningkatkan amal kebajikan samada kepada diri-sendiri dan ALLAH taala. Berubahlah demi masa depan bersama.       

Dunia MPPM : Suka Duka PERTAMA 2008
Masuk sahaja ke penggal ini, MPPM (Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia, Jordan) telah mencapai usia separuh penggal pemerintahannya. Sepanjang melalui beberapa tahun sejak bermulanya penubuhan MPPM, mereka yakni ahli kepimpinannya terus bersatu memajukannya sehingga ke tahun-tahun mendatang dengan tujuan segala kebajikan ahli terjaga dengan sempurna. Lalu mereka ini selayaknya diberi pujian dengan budi baik dan bakti yang sekian lama ditaburkan kepada kita.
Mahasiswa semua,
                Ketika kebangkitan mahasiswa di Malaysia bangun membela nasib rakyat, kita juga seharusnya mengambil langkah kebersamaan mereka untuk mengekori jejak itu. Lalu, PERTAMA menjadi medan mahasiswa di sini di bawah kesatuan MPPM untuk menjaga serta membela ahli sejagat. Bukan setakat itu sahaja, di dalam PERTAMA juga turut membincangkan isu-isu umat Islam dan sejagat membuktikan MPPM masih peka terhadap isu semasa umat ISLAM di sekitarnya.
                Palestin dan darah umat Islam di sana adalah juga sebahagian daripada darah daging umat Islam seperti kita. Kesakitan yang mereka alami merupakan kesakitan buat kita. Walaupun mahasiswa Malaysia Jordan tidak mampu ke sana menuntut perjuangan dan kebebasan tanah suci itu, tetapi sudah cukup meletakkan rasa simpati dan kebersamaan terhadap mereka sebagai bantuan spiritual untuk Palestin justeru di PERTAMA 2008 inilah MPPM membuktikan sikap dan pendirian mereka bahawa isu umat Islam sebegini amat penting di mata ahli.
Saudaraku yang dikasihi,
                Dalam pada simpati dan cakna yang kita beri kepada umat Islam di sana, namun ada sesetengah pihak yang kurang senang dengan keadaan itu, mereka terlalu sensitif terhadap isu tersebut. Bagi mereka isu palentine tidak layak disentuh oleh mahasiswa seperti kita. Lalu terjadilah tragedi yang tak pernah difikirkan. Anjuran PERTAMA terpaksa dihentikan ketika slot kemuncak mahu dijalakan. PERTAMA seolah dihalau dari terus mengadakan persidangan.
                ALLAH Maha Kuasa, Dia tidak akan mengecewakan kumpulan yang membantu agamanya. Dari sebuah dewan yang selesa dan besar, PERTAMA beralih ke dewan yang kecil, tetapi persidangan tetap terus berjalan dengan semangat yang lebih besar, bertambah kuat serta berkoba-kobar. Semangat juang Ahli Jawatankuasanya memang kental. Syabas dan tahniah!
PERTAMA 2008 ada menyimpan memoirnya sendiri, dan ia pasti akan termaktub di dalam diari kecil MPPM.
Tulislah nanti.

Almarhum Ustaz Arman, Hilangnya yang Tiada Ganti
                Ketika artikel ini ditulis, Almarhum baru 2 hari meninggalkan kita. Episod perjalanannya di dunia yang fana’ ini sudahpun ditutup lembaran bukunya, hanya kita yang masih menunggu masa dan ketika datangnya detik kematian. Jika bukan hari ini, pasti esok atau lusa, tidak perlu berebut untuk merasanya kerana dia sudah berjanji untuk menyapa kita nanti. Cuma anda telah bersiap ataupun tidak.
Terpulanglah bagaimana resepsi persiapannya.
                Walaupun pemergian beliau bakal meninggalkan seribu satu kenangan manis bersamanya, kita sebagai seorang manusia yang masih dikurniai segenggam nyawa serta kudrat harus meneruskan perjalanan ini dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Pengajaran tentang baik buruk selepas kematian telah ALLAH taala lampirkan di dalam kitabnya serta diceritakan oleh Nabi saw di dalam setiap patah hadith sucinya. Tinggal kita sahaja yang bijak menilai makna kandungan tersebut.
                Kita bukan sahaja menangisi pemergian Allahyarham bahkan kita juga menyanjung budi beliau yang banyak menaburkan jasa dalam memperjuangkan kebajikan pelajar-pelajar di Jordan. Melahirkan rasa sedih dan terkilan sahaja belum memadai selagi kita tidak mampu mencontohi beliau dalam gerak-kerja dan peribadinya. Biarlah saya katakan saya tidaklah mengenali beliau seperti saya mengenali Ustaz Sulaiman, tetapi cukup saya nyatakan beliau orang  yang terbaik pernah saya temui. Dia juga sebagai ‘rakan’ saya.
Semoga rohnya dicucuri sebanyak-banyaknya Rahmat daripada ALLAH taala lalu dia ditempatkan bersama golongan yang mendapat ganjaran Syurga.

PRISMA sudah menjangkau Umur Dewasa!!
Sedar atau tidak sedar, persatuan yang sudah lama kita naungi ini sudahpun mencapai usia matang. Sejak ia mendewasakan diri dengan pelbagai mehnah dan tribulasi, PRISMA kini sudah berani bergerak dan berdiri setaraf bersama persatuan-persatuan lain, dan yang paling membanggakan ia telah melahirkan beratus-ratus graduan ilmu yang masyhur. 
Siapa yang tidak mengenali dengan Profesor Ustaz Farid Ravi, beliau yang memegang tampuk barisan pertama kepimpinan PRISMA bukan sahaja telah membawa PRISMA ke persada keagungan tetapi pulang ke tanah air sebagai daie dan ikon masyarakat yang dikagumi. Lambat laun  saya mendoakan beliau akan mejadi tokoh masyarakat yang pula disegani.
Tanggal 15 Februari 1995, ramai yang belum mengetahui bahawa ini adalah tarikh keramat yang melahirkan bayi comel diberi nama PRISMA. Ketika itu ia belum sekukuh seperti sekarang, namun pembinaan tapaknya yang kuat menjadikan PRISMA sudah mampu berdikari sehingga mencapai umur 15 tahun. Tahun hadapan 2010 , ia bakal menyaksikan kewibawaan PRISMA dan kematangannya sepanjang menempuh tampuk pemerintahannya yang penuh liku dan cabaran.
Mahasiswa yang ku hormati,

Inilah Misi Ukhwah Kita.
Jika dahulu, PRISMA masih lagi ‘merangkak perlahan’ tetapi sekarang, kalau dinisbahkan PRISMA sudah menjadi ‘anak dara manis’ atau ‘bujang teruna’ yang boleh berlari pantas dan mampu merelevankan setiap mehnah yang dilalui. PRISMA saya yakin akan terus tabah walau berhadapan dengan sekuat mana ujian sekalipun, misi dan visi ukhwah serta kebajikan kepada ahli perlu diteruskan serta dilaksanakan. Saya pasti dan yakin, keikhlasan pimpinan yang menaunginya telah dianugerahi ALLAH taala suatu kekuatan yang amat luar biasa. Buktinya, Sehigga sekarang PRISMA masih lagi bernafas segar dan mampu memberi nafas kepada ahlinya.
Saya mahu mencadangkan kepada Ahli Majlis Tertingginya, pada tahun hadapan 2010 nanti, kita dan ahlinya mesti menyambut hari lahir PRISMA yang ke-15, saya mahu melihat ahlinya bersatu di atas nama UKHWAH FILLAH dalam pelukan PRISMA. Apa bezanya antara Negara Malaysia yang sudah berumur 54 tahun merdeka dengan umur 15 tahun PRISMA? Kita mesti menyambutnya, ayuh ahli-ahli PRISMA, nyatakan dan berilah sokongan kepada saya dan PRISMA untuk temasya itu nanti. Kita buat ini hanya untuk satukan ukhwah kita, apa salahnya kan?
‘Satu Mafraq, PRISMA Bertakhta di Hati’

Introspeksi (Aku.Kamu.Kita)
Sidang pembaca dan Mahasiswa yang saya kagumi,
                Saya menyeru kepada semua yang bergelar mahasiswa dan mahsiswi agar meletakkan dasar Ilmu dan Akhlaq sebagai pedoman di hadapan sekali. Dengan menjadikan Ilmu sebagai panduan untuk berakhlaq serta berketrampilan di dalam setiap tindak-tanduk, maka prinsip ilmu ini perlulah dipegang kukuh dan disemat di minda mahasiswa seperti anda. Akhlaq pula akan menampilkan realiti individu sejauh mana pratikal dan amali anda dalam KEHIDUPAN berilmu anda.
                Ilmu dan Akhlaq adalah dua mekanisma yang terpenting dalam janaan anda sebagai seorang yang bukan sahaja bergelar graduan tetapi daie yang bakal berhadapan dengan masyarakat suatu hari nanti. Anda adalah harapan masyarakat dalam menyebarkan keagungan Islam di Tanah Air kita, Malaysia tercinta. Saya katakan bahawa anda adalah mutiara satu di dalam seribu yang akan mencorakkan dan memindakan masyarakat Melayu kita dengan corak keagamaan dan kesantunan berbudaya, agar suatu hari Islam dapat ditegakkan dengan kejayaan seiring  sifat kesyumulannya yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Jauhi Fitnah dan Persengketaan.
                ALLAH taala dalam kalamnya menyebut dua kali berkenaan besarnya dosa fitnah yang menjadi pencetus kepada persengketaan. Dosanya lebih besar dan dasyat daripada perumpamaan membunuh. Janganlah kita sekalian menjadi agen penfitnah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab dan Isterinya. Amatlah malang apabila seorang bertitle agama seperti kita sengaja menjerumuskan diri-sendiri ke lembah yang sehina itu. Ia bukan sahaja merosakkan ketenangan sebuah komuniti bahkan menanggung dosa yang terlalu besar sesama manusia.
                Justeru, marilah sesama kita ini menjauhi sifat pecah-belah seperti ini, janganlah cuba mengaibkan dan menghebahkan keaiban manusia antara manusia biarpun ia sebuah kesalahan, apalah sangat manfaat yang kita perolehi dengan mengaibkan manusia.  Lebih besar dan beruntung apabila kita sendiri yang berkorban menutup aib itu, ganjaran pahala pasti berpihak pada anda dan suasana ukhwah akan terus kukuh terjalin. Saya meminjam sepotong sabda Nabi saw yang berpesan:
‘Barangsiapa yang menutup aib manusia ketika di dunia, maka ALLAH taala akan menutupkan aibnya di akhirat kelak. (demikianlah sebaliknya)’





Akhirnya, berkata Soal Hidup.
Mahasiswa/wi yang dikasihi,
Akhir kalam saya, ingin saya berpesan kepada semua
                ** ‘Apabila menanti bilah-bilah hari menuju tahun baru nanti, ia adalah sebuah keinsafan. Helaian demi helaian amalan kita di dunia ini diminitkan dan menunggu masa untuk diterima dan disahkan. Dunia semakin tua dan sentiasa acap mengulangi kesilapan yang sama. Ia tidak lagi sedar kerana ia telah tua dan telah nyanyuk untuk mengerti erti sebuah iktibar dan keinsafan.
Semua kita semakin tua. Seorang ahli akhirat akan semakin terungkai daripada tubuhnya ikatan-ikatan duniawi dan tali-tali akhirat semakin galak memegangnya dengan kuat. Dia semakin mencintai akhirat dan menggilainya. Dunia semakin jauh meninggalkannya dan dia tidak akan berpaling lagi kepadanya.
Adapun ahli dunia, tali-tali duniawi terus mengikatnya dengan lebih kuat. Dunia menagih hutangnya yang belum langsai. Kezaliman dan kemusnahan yang dilakukannya menghambatnya sehingga sukar sekali tali-tali akhirat untuk mengikatnya. Ketika akhirat memanggil-manggilnya, dia terus menjengah pada dunianya yang penuh soal dan tanya.
Dia ingin mempertahan diri di hadapan dunia yang akan lebur, sedang akhirat menunggunya dengan cemeti dan belenggu azab dan kepedihan’ **
Apalah ertinya KEHIDUPAN jika ia tidak dimaknakan dengan sebuah redha ALLAH taala.
ALLAHUMMA, jadikan diri kami hari ini lebih baik dari KEHIDUPAN semalam. Mudah-mudahan diri kami terjauhi daripada golongan yang dirundung kecelakaan, amin YA ALLAH
Sekian.

Dedikasi oleh,
MOHD AFIQ MOHD SALEH
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Malaysia AL al-Bayt (PRISMA)
Sesi 2009/2010

0 comments:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More