"Dengan ikhlas kepada Allah, tidak mempersekutukan sesuatu dengan Dia. Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkanangin ke tempatyang jauh." (surah Al-Hujurat:15)

PERTAMA Kali Ke-5/2011

PERTAMA adalah singkatan daripada PERSIDANGAN TAHUNAN MAHASISWA MALAYSIA SEJORDAN. Dan ianya sebuah Program Mega dibawah Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPMJ).

PERTAMA Kali Ke-5/2011

PERTAMA pada tahun 2011 ini merupakan PERTAMA Kali Ke-5 dan akan berlangsung pada 25-26 Februari 2011 bertempat di Universiti Al al-Bayt, Mafraq, Jordan.

Buka Mata Hati Kita

Peka Dengan Semua Isu Dunia Melibatkan Islam Adalah Tanggungjawab Kita, Jangan Dicampak Ke Mana-Mana Kerana Ia Adalah Salah Satu Soalan Untuk Anda Di Mahsyar.

Mahasiswa Timur Tengah Pencetus Perubahan

Ini adalah Tanggungjawab kita. Mujaddid Alaf Ini Mesti Lahir Dari Kalangan Kita. Kembalikan Aqidah, Syariat dan Akhlak Yang Asli Kepada Umat Ini Adalah Tugas Kita.

Strategi Ke Arah Biah Solehah

Mahasiswa Punya Keistimewaan Yang Membanggakan Jika Mereka Punya Jatidiri Muslim Yang Sejati. Kita Adalah Qudwah Untuk Masyarakat Di Sana.

Isnin, 28 Mac 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI KES-KES BENCANA DI JORDAN


KEDUTAAN BESAR MALAYSIA, JABATAN PENUNTUT MALAYSIA JORDAN
PIAWAIAN TETAP OPERASI
[STANDARD OPERATING PROCEDURES- (SOP)]
LANGKAH-LANGKAH MENGHADAPI KES-KES BENCANA DI JORDAN

1.0   PENDAHULUAN

1.1         Kes bencana alam, kebakaran, kemalangan, kematian dan peperangan adalah sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku. Oleh itu, setiap pelajar perlu mengambil langkah-langkah keselamatan dan sentiasa berhati-hati.
1.2         Persediaan menghadapi bencana adalah sangat penting bagi semua individu. Manual ini akan menjadi panduan asas bagi pelajar-pelajar Malaysia di Jordan menghadapi apa jua kes bencana di tempat masing-masing.

2.0   BENTUK-BENTUK BENCANA

2.1       Bagi memudahkan persediaan awal dibuat, para pelajar perlu mengetahui bentuk bencana yang berlaku dan langkah serta tindakan bersesuaian yang perlu diambil. Pihak JPMJ mengkelaskan kes-kes bencana kepada lima (05) kategori utama seperti yang berikut :

1.     Bencana alam (gempa bumi, puting beliung, ribut taufan);
2.     Kebakaran;
3.     Kemalangan (diri, jalanraya);
4.     Kematian (rakan pelajar); dan
5.     Peperangan.

3.0   PERSEDIAAN AWAL

3.1         Satu Jawatankuasa bencana perlu ditubuhkan dan di pengerusikan oleh Presiden persatuan di zon masing-masing. Keanggotaan jawatankuasa terdiri daripada 10 orang yang boleh dilantik daripada pelajar-pelajar Malaysia setempat.
3.2         Tugasan Ahli Jawatankuasa adalah :

1.     Untuk merancang dan membuat  persediaan sekiranya berlaku bencana alam;
1.     Menyediakan maklumat lengkap pelajar-pelajar yang ada di kawasan mereka. Maklumat termasuklah nama, nombor telefon bimbit, nombor telefon rumah, alamat rumah, fakulti, tahun, alamat rumah di Malaysia serta ahli keluarga terdekat;
1.     Menyediakan nombor telefon pihak-pihak berkuasa tempatan seperti polis, tentera, imigresen, hospital dan nombor telefon kakitangan JPMJ serta Kedutaan Besar Malaysia di Amman;
1.     Mencari tempat yang sesuai sebagai tempat perlindungan sementara sekiranya berlaku bencana alam. Tempat tersebut seperti hospital, balai polis, rumah sewa pelajar, tempat tinggi, padang atau mana-mana tempat yang sesuai dan selamat. Tempat tersebut perlu dihebahkan kepada semua pelajar-pelajar, agar mereka tahu ke mana hendak dituju sekiranya berlaku bencana. Satu lakaran pelan lokasi tempat tersebut perlu disediakan;
1.     Menyediakan senarai semak barang-barang yang perlu dibawa sekiranya berlaku bencana alam. Contoh, setiap individu perlu ada satu beg kecil untuk membawa passport, tuala, alatan mandi dan kesihatan dan lain-lain. Beg ini hendaklah sentiasa tersedia untuk dibawa sekiranya mendapat amaran untuk evakuansi; dan
1.     Menyediakan peralatan asas seperti peti kecemasan, lampu picit, kasut getah, ubat nyamuk, mancis dan sebagainya.
1.     Memaklumkan segera kepada Pengarah JPMJ atau pegawai, semua kes bencana yang berlaku untuk tindakan sewajarnya.

4.0   LANGKAH-LANGKAH SEMASA BENCANA.

1.     Sentiasa peka kepada berita-berita dari media massa, panggilan telefon, sms atau arahan daripada pihak berkuasa untuk berpindah;
1.     Menghubungi segera Pengarah atau Kakitangan JPMJ;
1.     Menghubungi semua pelajar setempat agar berkumpul di tempat yang telah dikenal pasti; dan
1.     Simpan dokumen penting seperti passport, kad pelajar, kad visa pelajar, kad bank dan lain-lain dalam beg khas berserta keperluan diri yang penting serta letakkan ditempat yang selamat dan mudah diambil apabila perlu.

4.1 GEMPA BUMI
4.1.1)  Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan

1.     Terus berada di dalam bangunan.
1.     Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut. Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh. Ia juga akan mengurangkan impak daripada objek yang jatuh) di mana mungkin.
1.     Pilih lokasi yang boleh memberikan udara untuk bernafas dalam keadaan di mana bangunan runtuh di sekeliling anda.
1.     Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelungsur dan jatuh.
1.     Berhati-hati dengan kepingan simen yang jatuh.
1.     Peluk sesuatu (kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain) untuk menutup kepala dan muka daripada sampah-sarap dan serpihan kaca.
1.     Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api disebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.
1.     Padamkan semua api.

4.1.2)  Sekiranya Anda Di Luar Bangunan

1.     Pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati jauh daripada wayar elektrik, tiang eletrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu. Bahaya paling besar daripada sampah-sarap yang jatuh ialah di luar pintu dan hampir ke dinding sebelah luar.
1.     Jauhi daripada talian eletrik yang jatuh.
1.     Terus berada di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.

4.1.3)  Sekiranya Di Dalam Bangunan Yang Sesak

1.     Jangan tergesa-gesa untuk ke muka pintu atau keluar memandangkan beratus-ratus orang lagi mungkin mempunyai idea yang sama.
1.     Sekiranya anda perlu meninggalkan bangunan, pilih jalan keluar dengan berhati-hati sebaik mungkin dan bertenang.
1.     Jauhkan diri daripada rak-rak yang mengandungi objek-objek yang mungkin jatuh.

4.1.4)  Sekiranya Di Dalam Bangunan Tinggi

1.     Berlindung di bawah meja atau perabot berat yang seumpamanya. Jauhkan diri daripada tingkap.
1.     Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain.
2.     Adalah lebih baik mencari keselamatan di mana anda berada sehingga gegaran berhenti, dan kemudian tinggalkan bangunan sekiranya pemindahan diperlukan.
1.     Jangan gunakan lif sebab bekalan kuasa mungkin terputus.
1.     Tinggal kekal di dalam bangunan di tingkat yang sama.

4.1.6)  Sekiranya Anda Di Laluan Pejalan Kaki Dekat Bangunan

Berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan sampah-sarap lain yang jatuh.

4.1.7)  Sekiranya Di Dalam Kereta Yang Bergerak

1.     Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan yang sesuai. Walau bagaimana pun, jangan berhenti di bawah jambatan atau lintasan atas atau rentangan kabel atau di mana bangunan boleh runtuh ke atas anda.
1.     Tunggu di dalam kereta hingga gegaran berhenti. Kereta adalah penyerap kejutan yang amat baik dan teruskan berada di dalam kereta untuk untuk menilai situasi anda.
1.     Apabila anda memandu selepas gegaran, berwaspada terhadap bahaya yang timbul daripada gempa bumi seperti objek yang sedang atau telah jatuh, wayar eletrik atau laluan jalan yang rosak atau berlubang-lubang.

4.2       KEBAKARAN

1.     Sediakan alat pemadam api botol kecil di setiap rumah.
1.     Apabila berlaku kebakaran, nilai tahap kebakaran jika anda dapat membantu memadam kebakaran dan maklumkan kes kebakaran kepada semua penghuni rumah / bangunan.
1.     Gunakan alat pemadam kebakaran atau hos paip bomba jika ada dan anda tahu menggunakannya.
2.     Jikalau kebakaran besar, selamatkan diri anda dengan berlari keluar daripada rumah / bangunan dengan kadar segera.
1.     Hanya gunakan laluan kecemasan atau laluan yang jauh dari pusat kebakaran dan tidak menggunakan lif jika anda berada di dalam bangunan tinggi.
1.     Sila baca arahan / panduan keluar dari bangunan seperti yang disediakan oleh pihak bomba / keselamatan bangunan.
1.     Jika asap tebal telah memenuhi bilik / bangunan, basahkan kain / tuala dan tutup hidung anda sambil bergerak keluar secara membongkok atau meniarap sehingga dapat keluar dari kawasan asap tebal.
1.     Jika telah selamat berada di luar rumah / bangunan, sila pastikan semua rakan anda telah berada di kawasan selamat.
1.     Jangan masuk semula ke dalam rumah / bangunan walaupun ada barang berharga yang tertinggal dan sila berada jauh dari kawasan kebakaran.
1.     Bantu pasukan bomba / penyelamat dengan memberikan maklumat yang berkaitan dengan punca kebakaran dan lokasi dalam rumah / bangunan jika diminta.

4.3       KEMALANGAN

1.     Hubungi Pengarah JPMJ atau pegwai dan sahabat untuk memaklumkan dan mendapatkan bantuan yang perlu.
1.     Jika membabitkan kemalangan jalan raya, sila maklumkan juga kepada pihak polis untuk mendapatkan bantuan yang berkaitan.
1.     Buat laporan polis di balai berdekatan, jika semua maklumat berkaitan kemalangan telah diambil oleh pihak polis dari anda, seperti pihak lain yang terlibat, saksi, gambar kawasan kemalangan dan lain-lain.
1.     Ambil barang yang berharga dari kenderaan jika kenderaan tidak dapat dipandu dari kawasan kemalangan.
1.     Dapatkan rawatan di hospital berdekatan dengan bantuan rakan atau orang ramai yang berada di tempat kemalangan.

4.4       KEMATIAN

1.     Sila maklumkan segera kepada Pengarah JPMJ atau pegawai jika berlaku kematian di kalangan pelajar.
1.     Buat persediaan awal pengurusan jenazah di rumah pelajar sebelum pegawai JPMJ tiba untuk pengurusan lengkap jenazah.
1.     Hubungi keluarga / waris terdekat untuk pemakluman dan mendapatkan keputusan pengurusan jenazah.
1.     Memaklumkan kepada pihak universiti untuk tujuan yang berkaitan di bahagian rekod dan kemasukan serta bahagian kewangan dan fakulti.
1.     Membantu JPMJ menguruskan prosedur yang berkaitan di hospital, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan sijil dan dokumen lain yang perlu untuk urusan pengebumian atau penghantaran pulang jenazah ke Malaysia.
1.     Membantu JPMJ menguruskan semua dokumen dan barang-barang peribadi milik jenazah untuk dihantar pulang ke Malaysia jika diminta oleh keluarga / warisnya.

4.5       PEPERANGAN

1.     Sentiasa ikuti perkembangan semasa jika berlaku krisis keselamatan di dalam negara tempat belajar atau negara-negara jiran.
1.     Hubungi Pengarah JPMJ atau pegawai jika perlukan maklumat lebih lanjut.
1.     Jika peperangan meletus, sediakan semua dokumen penting dalam satu beg khas dan diletakkan di tempat selamat dan mudah dicapai.
1.     Tunggu arahan lanjut daripada pihak JPMJ dan tidak mengambil tindakan sendiri sebelum mendapatkan pandangan / kelulusan pihak JPMJ.
1.     Jangan terlibat dengan sebarang tunjuk perasaan anti perang atau sebarang demonstrasi jalanan.
1.     Jangan sama sekali terlibat dalam apa jua gerakan atau kumpulan yang mengajak anda untuk turut serta secra sukarela terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menyokong atau menyertai peperangan yang berlaku.
1.     Jika peperangan meletus dalam kawasan di mana anda berada, pastikan anda sentiasa berada di dalam rumah / bangunan dan tidak keluar ke kawasan berkenaan.
1.     Jika anda berada di kawasan luar, sila dapatkan perlindungan di kawasan universiti atau balai polis yang berdekatan sehingga keadaan selamat dan anda diizinkan pulang ke rumah.
1.     Bersedia untuk dipindahkan atau di arah pulang ke Malaysia jika keadaan peperangan semakin serius dan membahayakan keselamatan pelajar.
1.     Hanya bawa dokumen penting dan keperluan asas diri apabila arahan pemindahan atau pulang ke Malaysia dikeluarkan oleh pihak JPMJ dan berkumpul di tempat yang di arahkan secepat mungkin.

5.0   PERINGKAT PERANCANGAN

1.     Pra Krisis
2.     Semasa Krisis
3.     Selepas Krisis

5.1       PRA KRISIS

1.     Pembukaan pusat krisis dan pusat pengumpulan bantuan bencana dan mengadakan daftar bantuan yang diterima.
1.     Mengenalpasti   pegawai bertugas dan bidang tugas.
1.     Kumpul maklumat awal tentang bencana daripada sumber-sumber informasi seperti jenis ancaman bencana, jangkaan kejadian, sumber bantuan, tempat perlindungan dan lain-lain.
1.     Menilai tahap / darjah keseriusan bencana yang bakal berlaku.
1.     Pemindahan pelajar dan barangan berharga daripada kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan bencana.
1.     Menempatkan mangsa di tempat perlindungan.
1.     Penyediaan keperluan mangsa perpindahan seperti makanan, selimut, ubat-ubatan dan barangan keperluan diri.
1.     Mengedarkan informasi berkaitan maklumat krisis dan perancangan kecemasan.
1.     Melatih pelajar menghadapi bencana tertentu, misalnya gempa bumi, kebakaran dan kemalangan.

5.2       SEMASA KRISIS

1.     Mengenalpasti mangsa / status kesihatan dan keselamatan.
1.     Meneruskan kerja-kerja pemindahan ke kawasan yang dilanda bencana. Pemindahan boleh dilakukan ke Malaysia atau ke tempat perlindungan yang disediakan.
1.     Mengumpul maklumat secara berterusan menerusi sumber-sumber informasi.
1.     Membina hubungan baik dengan pasukan bantuan, pasukan keselamatan dan pihak universiti.
2.     Mengekalkan komunikasi dengan Wisma Putra / Kementerian Pengajian Tinggi / Ibu-bapa atau Penjaga.
1.     Menyampaikan maklumat menerusi media yang menjadi satu-satunya sumber komunikasi / sumber penyebaran maklumat dengan dunia luar apabila bencana menjadi bertambah buruk.
1.     Pengedaran bantuan berupa makanan dan lain-lain keperluan.
1.     Menubuhkan pasukan kesihatan untuk menjaga kesihatan, rawatan dan pengagihan ubat-ubatan kepada  mangsa bencana.
1.     Memantau perkembangan bencana alam yang berlaku seperti menyiasat, menilai dan menyediakan pelan strategi seterusnya.
1.     Prosedur penghantaran pulang jenazah jika berlaku kematian.

5.3       SELEPAS KRISIS

1.     Menyiasat / menilai / melapor kerosakan dan kerugian yang di alami.
1.     Melapor perkembangan dan maklumat tentang berakhirnya krisis berkenaan kepada agensi-agensi kerajaan.
1.     Menyediakan prosedur pemulihan krisis.
1.     Penghantaran pulang pelajar jika tempat penginapan selamat untuk diduduki.
1.     Meneruskan pemakluman menerusi media seperti mengucapkan penghargaan / nasihat pada mangsa.
1.     Pengedaran informasi bagi mengekalkan kesihatan warga.
1.     Mengaudit peralatan dan baki bantuan yang diterima.
1.     Pembubaran pusat krisis dan tugas-tugas menyelamat.

Disediakan Oleh :
JABATAN PENUNTUT MALAYSIA JORDAN
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA
AMMAN

LARANGAN MENYERTAI SEBARANG DEMONSTRASI/RAPAT UMUM DI JORDAN


Assalamualaikum w.b.t
Kepada semua ahli MPPMJ,

LARANGAN MENYERTAI SEBARANG DEMONSTRASI / RAPAT UMUM DI JORDAN
Merujuk perkara di atas, kami barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Malaysia Jordan menyarankan kepada semua ahli MPPMJ agar semua mahasiswa dan mahasiswi Malaysia tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan demonstrasi atau rapat umum yang dianjurkan oleh mana-mana pihak/pertubuhan NGO di Jordan.
Larangan bertujuan untuk memastikan keselamatan semua mahasiswa/wi Malaysia dan juga bagi mengelakan sebarang bentuk tindakan yang tidak diingini diambil oleh pihak berkuasa tempatan kepada sesiapa yang menyertai demonstrasi dan rapat umum tersebut.

KENYATAAN RASMI  KPT  MALAYSIA SITUASI SEMASA DI MESIR
Kementerian Luar Negeri sentiasa  memantau perkembangan terkini situasi di Mesir berikutan rusuhan dan tunjuk perasaan yang berlaku di negara tersebut. Sehingga kini, tiada penuntut dan rakyat Malaysia yang terlibat dan mereka dilaporkan selamat.

Kementerian Luar Negeri juga sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan di Kaherah dan sedang menyusun langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di Mesir.

Kedutaan Besar Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan berkaitan di Kaherah juga sentiasa memantau perkembangan terkini di sana dan telah menghubungi dan menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Mesir termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan PETRONAS supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya dan mengelakkan dari berada di tempat-tempat yang berisiko tinggi tercetusnya rusuhan.
Sumber: http://media.inform.gov.my/e-press/cetak sm.asp?data_dtl_oid=54025&data_type=Siaran+Media&state=WP+Kuala+Lumpur

Sekian, terima kasih.

Yang benar


( MOHD AFIQ BIN MOHD SALEH )
Presiden,
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan,
Sesi 2010/2011.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More